PARIT 20 Julai – Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terjatuh setelah bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian pada pukul 10.10 pagi itu mengorbankan Dahari Ibrahim yang berusia 80 tahun.
Katanya, kejadian berlaku semasa lori muatan batu kuari yang dipandu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Ipoh ke Lumut.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah keluar dari susur Bota Kanan di sebelah kiri jalan dan masuk ke laluan sebelah kanan Jalan Ipoh-Lumut.
“Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, pemandu lori itu cuba mengelak daripada melanggar mangsa namun gagal apabila kenderaan dipandunya bergesel dengan motosikal berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










