KUALA LUMPUR 8 Julai – Wanita UMNO berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM261,286 berserta dua utas gelang emas yang dikumpulkan oleh ahli-ahli pergerakan di seluruh negara.
Kutipan sumbangan itu bagi membantu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyediakan wang ikat jamin yang perlu dibayar esok.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, termasuk dalam sumbangan tersebut adalah sejumlah RM3,000 yang diperoleh daripada Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang yang telah rela melelong gelang emas miliknya dan kemudian telah dibeli oleh seorang individu.
“Terdapat juga tawaran-tawaran lain dari ahli-ahli Wanita UMNO untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini.
“Ini bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti. Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najib dijadual membayar sebahagian lagi wang ikat jaminnya berjumlah RM500,000 pada esok. Pada Rabu lalu, Najib telah membayar ansuran pertama berjumlah RM500,000 selepas meminta untuk dibicarakan mahkamah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Pendakwaan terhadap Najib berkaitan dengan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Sementara itu, tambah Dr. Noraini, Wanita UMNO berjanji akan terus bersama keluarga besar UMNO yang berpegang teguh kepada semangat setiakawan dan perpaduan termasuk ketika senang dan susah.
“Wanita tekad mempertahankan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, ketika pemimpin itu masih memimpin mahupun setelah mereka melepaskan jawatan.
“Solidariti ahli-ahli UMNO ini akan terus menjadi kekuatan parti menempuh cabaran yang sedang didepani ketika ini,” katanya.











