Wakil rakyat PKR sedia jadi jambatan antara kerajaan Perlis dan Pusat - Utusan Malaysia

Wakil rakyat PKR sedia jadi jambatan antara kerajaan Perlis dan Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 19 Julai – Wakil rakyat PKR di negeri ini sentiasa terbuka dan sedia menjadi jambatan antara kerajaan negeri dengan Pusat demi kepentingan rakyat Perlis meskipun berbeza fahaman politik.

ASRUL NIZAN
ASRUL NIZAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, apa yang penting hubungan baik itu mesti dikekalkan bagi memudahkan segala perancangan pembangunan yang diatur di negeri ini berjalan lancar.

“Kita tidak ada masalah untuk kerjasama demi kepentingan rakyat di negeri ini. Kita akan panjangkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan membabitkan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat khususnya membabitkan perancangan pembangunan sebelum ini dan akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Asrul Nizan berharap Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mempertimbangkan memberi peruntukkan bulanan RM10,000 kepada wakil-wakil rakyat pembangkang khususnya untuk pengurusan di pusat khidmat di kawasan masing-masing.

Katanya, peruntukkan itu penting bagi membolehkan mereka membayar gaji pekerja dan menguruskan pusat khidmat.

“Kerajaan negeri diminta lebih adil memberikan peruntukkan itu bukan sahaja kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebaliknya kepada kesemua lima wakil rakyat pembangkang sama ada PKR ataupun Pas.

“Dalam soal ini, perbezaan politik mesti diketepikan dan kami juga sentiasa terbuka untuk bekerjasama menjadi jambatan antara kerajaan negeri dan Pusat,” katanya yang juga Naib Ketua PKR Cabang Kangar.

Dalam perkembangan lain, Asrul Nizan berharap sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang bakal berlangsung minggu depan berjalan lancar.

Katanya, beberapa isu akan dibangkitkan dalam sidang tersebut khususnya melibatkan masalah bekalan air di negeri ini yang berlarutan sejak sekian lama.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan calon Speaker DUN dalam sidang tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN