RAWANG 28 Julai – Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun antara 114 individu yang ditahan dalam operasi membanteras judi haram di Jalan Bandar Rawang 3, Bandar Baru Rawang di sini malam tadi.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan melibatkan pemeriksaan di 10 premis itu bermula pada pukul 6 petang hingga awal pagi ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengikuti operasi itu berkata, 42 orang yang ditahan merupakan penjaga premis dan 72 lagi adalah pelanggan.
Menurutnya, daripada 72 pelanggan yang ditahan, lapan adalah warga asing.
“Ada juga kanak-kanak umur 10 tahun yang ditahan kerana dibawa oleh ibu bapanya yang datang bermain judi haram.
“Sebanyak 208 mesin slot, 73 simulator, 63 cip tambah nilai dan wang tunai RM16,808 dirampas dalam operasi ini. Harga satu mesin slot adalah kira-kira RM10, 000 hingga RM15, 000 yang menjadikan nilai rampasan mencecah jutaan ringgit,” katanya di sini hari ini – UTUSAN ONLINE










