BANGKOK 3 Julai – Pasukan penyelamat Thailand berdepan proses menyelamat yang sukar dan lama bagi mengeluarkan sebanyak 13 anggota sebuah pasukan bola sepak belia Thailand yang ditemukan masih hidup, semalam selepas hilang 10 hari di dalam sebuah gua di Chiang Rai.
Ketika bekalan makanan dan perubatan disalurkan kepada kumpulan itu melalui air berlumpur, sebanyak 13 remaja termasuk seorang jurulatih mereka ditemukan dalam keadaan kurus dan kelaparan di atas timbunan lumpur yang dikelilingi air sekali gus menamatkan pencarian yang menjadi perhatian rakyat negara ini.
Lebih banyak makanan dan perubatan termasuk gel berkalori tinggi dan paracetamol dihantar kepada mangsa hari ini ketika pasukan penyelamat bersiap sedia melakukan satu operasi jangka panjang untuk mengeluarkan kanak-kanak tersebut.
Tentera Thailand berkata, mereka akan menyediakan bekalan makanan untuk beberapa bulan dan latihan menyelam kepada remaja itu untuk keluar daripada rangkaian gua Tham Luang yang digenangi air, di utara negara ini.
“Kami bersedia menghantar bekalan makanan tambahan yang mampu tahan bagi tempoh sekurang-kurangnya empat bulan dan melatih kesemua 13 orang mangsa menyelam sementara meneruskan usaha menyedut keluar air dalam gua,” kata Kapten Tentera Laut, Anand Surawan.
Anand bagaimanapun enggan mengandaikan berapa lama mangsa akan terperangkap ketika pakar meramalkan operasi itu akan memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
“Kami menyifatkan operasi ini sebagai misi mustahil kerana hujan turun setiap hari,” kata Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn.
Kanak-kanak itu ditemukan kira-kira pukul 10 malam tadi oleh penyelam Britain iaitu kira-kira 400 meter dari tempat mereka dipercayai terperangkap beberapa kilometer di dalam gua.
Remaja berkenaan ditemukan duduk di kawasan berbatu di atas permukaan air dan mengatakan diri mereka lapar.
Dalam video yang dimuat naik di laman Facebook Tentera Laut Thailand, seorang daripada kanak-kanak itu meminta pasukan penyelamat membawa mereka keluar.
Dalam reaksi balas, penyelamat Britain itu berkata: “Tidak, bukan hari ini, lebih banyak orang akan datang dan kami adalah yang pertama,” merujuk kepada operasi menyelamat yang rumit di luar kawasan pergunungan itu.
Selain faktor air dalam gua, tugas sukar untuk mengeluarkan mangsa adalah keadaan mereka lemah dan mereka juga bukan penyelam berpengalaman.
Sementara itu, ahli keluarga dan penduduk Thailand gembira dengan penemuan pasukan bola sepak tersebut.
“Saya amat lega walaupun saya tidak berpeluang menemuinya, saya hanya ingin beritahu bahawa saya akan menunggunya di sini,” kata seorang bapa, Kieng Khamleu.
Seorang lagi pasangan ibu bapa kepada kanak-kanak itu sukar mempercayai berita baik itu.
“Sukar dibayangkan kerana kami sudah menunggu selama 10 hari, saya tidak pernah bayangkan saat ini akan tiba,” kata seorang bapa kepada pemain bola terbabit.
Pasukan bola sepak Wild Boar terperangkap di dalam gua itu sejak 23 Jun lalu selepas hujan lebat menghalang pintu masuk utama Gua Tham Luang yang berukuran 10 kilometer panjang. – AFP











