PUTRAJAYA 28 Julai – Suasana gelap dan kedinginan awal pagi tidak menghalang orang ramai untuk hadir menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di sini yang berlaku bermula awal pagi hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Unit Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Shahril Azwan Hussin, fenomena tersebut yang kali kedua berlaku pada tahun ini merupakan gerhana bulan penuh paling lama yang berlaku pada abad ke-21 iaitu dari 2001 hingga 2100.
“Fasa gerhana bulan penuh kali ini bermula pukul 3.30 pagi sehingga mencapai kemuncak pada pukul 4.21 pagi berakhir 5.13 pagi.
“Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayang umbra. Keadaan ini menyebabkan bulan kelihatan lebih kecil berbanding fenomena Super Blue Blood Moon yang berlaku Januari lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini ini.
Dalam pada itu, Shahril Azwan berkata, sebanyak sembilan teleskop berkomputer milik Jakim, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Universiti Malaya serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) disediakan di kedua-dua masjid tersebut bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat fenomena itu.
Beliau berkata, selain aktiviti cerapan kedua-dua masjid tersebut turut menganjurkan solat sunat gerhana bulan.-UTUSAN ONLINE










