KUALA TERENGGANU 19 Julai – Hampir 16 metrik tan buah-buah bermusim habis terjual dalam masa kira-kira dua jam sempena Jualan Anak Beranak anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pekarangan pejabatnya di sini hari ini.
Sambutan menggalakkan kira-kira 5,000 pengunjung itu adalah kerana masing-masing tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan durian, manggis, rambutan, cempedak, nanas, salak, jagung manis dan labu manis yang dijual dengan harga lebih rendah menjangkau sehingga lebih 20 peratus berbanding pasaran.
Ramai yang pulang dengan tangan kosong, dan berharap program sebegin diteruskan.
Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed berkata, seawal pukul 7 pagi orang ramai sudah memenuhi gerai jualan hingga menyebabkan operasi yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam itu dijangka dihentikan lebih awal daripada dijadualkan.
Katanya, walaupun hebahan awal memaklumkan harga durian kampung adalah antara RM6 hingga RM7 sekilogram namun, pengunjung yang datang hari ini diberi harga istimewa iaitu RM5 untuk sekilogram.
“Kebanyakan yang datang semua hendak beli durian dan daripada keseluruhan tujuh tan metrik bekalan buah itu, yang tinggal setakat pukul 9.30 pagi ini hanya satu lori sahaja iaitu durian klon manakala kesemua durian kampung telah habis terjual.
“Oleh itu, kita keluarkan sedikit demi sedikit bekalan durian supaya orang ramai boleh membeli buah-buahan lain terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagi durian klon harganya adalah RM10 sekilogram, begitu juga manggis, cempedak, rambutan dan nanas MD2 yang dijual sebanyak RM4 sekilogram manakala nanas Sarawak (RM3 sekilogram), salak RM6 sekilogram di samping jagung dan labu masing-masing RM1.
Menurut Fauzi, program yang pertama kali dianjurkan itu dijangka mencapai jualan lebih RM30,000 sekali gus memberi manfaat kepada 200 pekebun terlibat.
Katanya, ekoran sambutan di luar jangkaan itu, FAMA merancang untuk mengadakan jualan sama pada Khamis depan membabitkan bekalan kira-kira 30 tan metrik buah-buah bermusim.
Program Jualan Anak Beranak itu bertujuan untuk membantu pekebun menjual secara terus kepada Fama tanpa melalui orang tengah yang sekali gus membolehkan pengguna menikmati dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran agak keterlaluan selain mengelakkan berlaku lambakan.- UTUSAN ONLINE










