Unit peronda bantu jemaah sesat - Utusan Malaysia

Unit peronda bantu jemaah sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH 27 Julai – Mencari jemaah yang ‘terlupa’ balik ke maktab selama dua hari kerana terlampau teruja beriktikaf di Masjidilharam antara pengalaman dilalui petugas Unit Peronda pada musim haji.

Menurut salah seorang petugas berkenaan, Mazalan Salleh, kejadian itu berlaku pada musim haji lepas menyebabkan rakan sebilik jemaah lelaki itu bimbang lalu melaporkan ‘kehilangan’ tersebut kepada Pusat Khidmat Pelanggan maktab.

“Sebaik sahaja menerima laporan itu saya terus melakukan pencarian dan menemukan jemaah terbabit dalam Masjidilharam.

“Jemaah itu memberitahu dia tidur di Masjidilharam selama dua hari, tidak mandi dan membeli makanan di gerai berhampiran kerana terlalu seronok sehingga tidak balik ke maktab,” kata Mazalan ketika ditemui sedang bertugas di sekitar pintu Marwah.

Seorang lagi petugas, Anua­r Hamzah berkata, bantuan yang sering diberikan biasa­nya jemaah wanita yang tidak pasti jalan balik ke hotel selain mahu ditunjukkan pintu masuk paling hampir dengan Kaabah.

“Biasanya jemaah berkenaan keluar bersendirian. Walaupun kadang-kadang mereka biasa datang ke sini tetapi persekitaran Masjidilharam sen­tiasa berubah kerana kerja-kerja pe­ngubahsuaian,” kata­nya yang bertugas 16 jam sehari.

Sementara itu menurut Ketua Unit Peronda, Inspektor Abdullah Jauhari, seramai 18 anggota unit tersebut ditempatkan di sekitar Masjidilha­ram iaitu dari kawasan Mar­wah sehingga Bukit Omar.

Menurutnya, mereka bekerja 24 jam sehari menerusi tiga shif sebagai penunjuk arah kepada jemaah yang tersasar da­ri­pada laluan pulang ke maktab serta membantu mereka yang cedera, kepenatan atau terpisah daripada keluarga.

Beliau memberitahu, anggota unit itu terdiri daripada Polis Bantuan Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia dan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia dengan shif bermula 7 pagi hingga 2 petang, 2 petang hingga 10 malam dan 10 malam hingga 7 pagi.

Katanya, antara aspek diambil kira dalam pemilihan anggota adalah indeks jisim tubuh (BMI) yang sesuai serta daya ketahanan yang kuat kerana perlu banyak berjalan dalam suhu panas dengan radius rondaan tiga kilometer setiap shif.

“Namun, ada juga anggota yang pengsan kerana keletihan akibat cuaca panas,” katanya.

Menurutnya, anggota unit itu boleh dikenali melalui baju T dan topi merah serta seluar dan kasut hitam.

Katanya, purata mereka mengendalikan 10 hingga 12 kes sehari, oleh itu beliau menasihatkan jemaah agar mengenal pasti laluan keluar masuk dan bergerak secara berkumpulan agar tidak sesat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN