Turki pecat 18,500 lagi kakitangan kerajaan - Utusan Malaysia

Turki pecat 18,500 lagi kakitangan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA – Pihak berkuasa Turki mengarahkan pemecatan lebih 18,500 kakitangan kerajaan termasuk anggota polis, askar dan ahli akademik dalam dekri Presiden yang disiarkan semalam.

Jurnal rasmi, Official Gazette menyatakan bahawa 18,632 orang telah dipecat termasuk 8,998 anggota dan pegawai polis dalam dekri kecemasan kerana disyaki terlibat dalam organisasi keganasan dan kumpulan yang mengancam keselamatan negara.

Kira-kira 3,077 askar turut dipecat di samping 1,949 anggota tentera udara dan 1,126 orang daripada tentera laut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seramai 1,052 kakitangan awam daripada Kementerian Kehakiman dan institusi berkaitan juga dipecat di samping 649 anggota polis separa tentera dan 192 anggota pasukan pengawal pantai.

Pihak berkuasa juga memecat seramai 199 ahli akademik, manakala 148 penjawat daripada pasukan tentera dan beberapa kementerian diambil semula.

Turki berada di bawah pe­rintah darurat sejak percubaan untuk menumbangkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Julai 2016 gagal.

Perintah darurat dilanjutkan tujuh kali dan dijangka berakhir pada 19 Julai ini.

Sejak Julai 2016, lebih 110,000 penjawat awam telah dipecat menerusi dekri kecemasan, manakala puluhan ribu lagi digantung tugas dalam operasi mematahkan cubaan menumbangkan kerajaan yang dikritik Barat.

Turki menuduh pendakwah berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen sebagai mendalangi cubaan rampasan kuasa tersebut. Majoriti mereka yang dipecat adalah didakwa mempunyai kaitan dengan Fethullah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×