PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju untuk menghadiri dan berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdulah.
“Ucapan beliau di UNGA kali ini adalah mengenai dasar luar (Malaysia),” katanya pada majlis mengalu-alukan Timbalan Menteri Luar yang baru dilantik Datuk Marzuki Yahya di Wisma Putra di sini hari ini.
UNGA Sesi ke-73 itu akan bermula pada 18 September di New York, Amerika Syarikat.
Sementara itu, Saifuddin enggan mengulas lanjut ketika ditanya pemberita mengenai laporan Sarawak Report yang mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah ditahan di China.
“Isu Jho Low ini bawah pengendalian pihak berkuasa khususnya pihak polis. Kami mempunyai keyakinan penuh pihak polis mempunyai segala keupayaan untuk mengesan, mencari, menangkap, membawa balik dan sebagainya.
“Mereka mempunyai protokol-protokol antarabangsa yang perlu diikuti, mereka lebih mahir,” katanya. – Bernama










