PUTRAJAYA 19 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) sesi ke-73 di New York, Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula pada 18 September ini.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Dr. Mahathir juga bakal berucap pada perhimpunan berkenaan.
“Kita amat gembira kerana Perdana Menteri telah bersetuju untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan berucap pada perhimpunan berkenaan.
“Saya yakin ucapan beliau nanti akan menjadi panduan untuk dasar luar negara kita,” katanya kepada pemberita semasa berucap pada Majlis Sambutan Timbalan Menteri Luar yang baharu, Senator Datuk Marzuki Yahya di Wisma Putra, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai Sarawak Report semalam melaporkan bahawa sebuah stesen radio di Hong Kong yang tidak dinamakan menyatakan bahawa Jho Low telah ditahan di China, Saifuddin enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.
“Isu Jho Low ini adalah isu di bawah pengendalian pihak berkuasa khususnya polis, kami mempunyai keyakinan penuh pihak polis mempunyai segala keupayaan untuk mengesan, mencari, menangkap, membawa balik dan sebagainya.
“Mereka mempunyai protokol-protokol antarabangsa yang perlu diikuti, dari segi Wisma Putra, kita cuma mempermudahkan apabila pandangan kami dan fasilitasi kami diperlukan tetapi lazimnya dalam perkara-perkara sedemkian rupa memang pihak polis sudah sedia ada dengan protokol dan kaedah mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










