SEPASANG sut dengan anggaran berat mencecah 37 kilogram (kg) disarungkan pada tubuh seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cermat dan berhati-hati.
Cuaca panas pada pagi itu sedikit pun tidak mengganggu tugas yang dijalankan biarpun jernih peluh mula membasahi dahi sebelum dikesat dengan lengan baju.
Beberapa anggota lain turut membantu menyarungkan sut khas serta topi keledar memandangkan ia sukar untuk disarungkan secara sendirian.
Itulah antara prosedur yang perlu dilakukan oleh anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM sewaktu menjalankan tugas getir selepas menerima laporan tentang penemuan objek yang disyaki bahan letupan atau bom.
Kru Panorama yang berpeluang melihat dengan lebih dekat ketangkasan anggota UPB dalam menjalankan tugas getir memusnahkan bom di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu mengagumkan.
Penolong Pengarah Persenjataan, Jabatan Sumber Strategik dan teknologi PDRM, Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, Unit Pemusnah Bom PDRM telah ditubuhkan seawal tahun 1977 selepas dua orang pegawai dari Bahagian Persenjataan dihantar untuk menghadiri kursus di United Kingdom.
“Selepas pulang daripada kursus, pegawai tersebut telah mengajar kepada anggota Bahagian Persenjataan PDRM sebelum akhirnya UPB ditubuhkan,” kata Mohammad Rafee sewaktu ditemui kru Panorama.
Sempadan tugas
Ceritanya, sebelum tahun 1980, tugas memusnahkan bom dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dengan keluarnya arahan No.8, Operations Planning Committee (Jawatankuasa Perancangan Gerakan) oleh Majlis Keselamatan Negara pada tahun 1980, PDRM mengambil alih tugas pemusnahan bom di tempat awam daripada ATM sepenuhnya.
UPB PDRM terletak di bawah Bahagian Persenjataan dalam Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM dengan diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan) berpangkat Senior Asisten Komisioner.
Ancaman bom yang mula merebak di kawasan bandar menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menyerahkan tugas pemusnahan bom kepada PDRM memandangkan lokasi balai-balai polis yang lebih dekat dengan penduduk berbanding kem-kem tentera yang agak jauh.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Perancangan Gerakan mempunyai panduan sempadan di mana UPB hanya menjalankan tugas-tugas yang melibatkan penemuan bahan letupan di semua lokasi kecuali di kawasan operasi tentera yang dikendalikan oleh ATM dan kawasan di bawah paras air pasang yang dipertanggungjawabkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.
Secara anggaran, PDRM menerima lebih kurang 200 panggilan bom setahun di seluruh Malaysia merangkumi panggilan jumpaan bom lama, panggilan kejadian selepas berlaku letupan, penemuan jerangkap letupan rekaan serta panggilan jumpaan objek disyaki bom, tetapi selepas diperiksa didapati bukan bom.
Mohammad Rafee memberitahu, semua anggota UPB perlu melalui dua kursus iaitu kursus asas pemusnahan bom tahap satu dan kursus pemusnahan bom tahap dua.
“Tahap satu lebih kepada asas apa yang dipanggil sebagai UXO (Unexploded Ordnance), iaitu prosedur bagi memusnahkan bom-bom lama yang dijumpai tidak meletup sewaktu tinggalan perang,” jelasnya.
Kursus tahap dua pula melibatkan IED (Improvise Explosive Devices) iaitu prosedur yang digunakan untuk memusnahkan jerangkap letupan rekaan atau bom buatan sendiri yang tidak diketahui rekaan suisnya dan hanya diketahui oleh pembuat bom terbabit sahaja.
Menyentuh tentang cara atau gerak kerja yang dilakukan oleh UPB, Pegawai Turus Persenjataan, Deputi Superintendan Rayner Jaunis memberitahu, anggota UPB menjalankan tugas pemusnahan melalui teknik-teknik tertentu agar operasi yang dijalankan tidak berakhir dengan letupan menyeluruh (total explosion).
Jenis bom
Apabila orang awam menemui objek yang disyaki bom, mereka perlu menghubungi balai polis berhampiran untuk memaklumkan tentang penemuan tersebut.
UPB yang dihubungi oleh Pusat Kawalan Polis Kontinjen kemudiannya akan ke lokasi bagi memastikan jenis bom serta kedudukan bahan letupan itu ditemui.
“Anggota UPB tidak boleh memindahkan bahan letupan itu ke tempat lain dan ia perlu dimusnahkan di lokasi asal ia ditemui mengikut teknik yang telah ditetapkan,” ujar Rayner.
Sewaktu kerja memusnahkan bom dilakukan, anggota bertugas akan mengambil kira dua perkara penting iaitu memastikan tiada kemalangan jiwa dan tidak berlakunya kerosakan pada harta benda.
Namun, jika bom ditemui di lokasi yang terletak di kawasan berhampiran dengan penduduk, UPB perlu memusnahkan bom tersebut dalam tempoh 24 jam.
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan Rayner sewaktu melakukan tugas memusnahkan bom adalah ketika dia meletupkan sebutir bom yang ditemui di kawasan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada tahun 2011.
Menurutnya, dia bersama 15 anggota dari UPB Selangor dan Bukit Aman telah dimaklumkan mengenai penemuan sebutir bom lama jenis Aerial seberat 453kg.
“Pasukan kami mengambil masa dua hari untuk melaksanakan persiapan pemusnahan bom tersebut dan hanya diberi tempoh satu jam oleh pihak lapangan terbang untuk meletupkannya,” ujarnya.
Cerita Rayner, semasa tugas meletupkan bom itu dilakukan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang terletak berhampiran lokasi penemuan bom terpaksa membatalkan operasi pelepasan dan pendaratan pesawat buat sementara.
“Bom yang ditemui berjaya diletupkan tetapi kekuatan dan gegaran ledakan bom tersebut boleh didengari sejauh satu kilometer,” katanya.
Menurut Rayner, tidak wujud istilah bom tidak aktif kerana semua bom lama yang ditemui masih berbahaya walaupun telah berusia lebih 100 tahun dan akan meletup semasa dimusnahkan.
Dalam setiap pengendalian operasi memusnahkan bom, antara empat hingga lima orang anggota berserta seorang pegawai akan turun padang bergantung pada keadaan dan saiz bom tersebut.
Sut bom
Anggota UPB turut dilengkapkan dengan sut bom atau turut dikenali sebagai Explosive Ordnance Disposal Suit buatan Kanada yang dipakai oleh anggota nombor satu yang mengetuai operasi.
Memiliki berat sehingga 37kg, sut bom tersebut dipakai hanya oleh seorang anggota UPB yang perlu memeriksa objek yang dipercayai bom dalam jarak dekat.
Menurut Asisten Superintendan Mohd. Hatta Ismail di bahagian Persenjataan (Ancaman Bom) PDRM, sut tersebut bertujuan untuk melindungi anggota daripada risiko ledakan atau cedera akibat serpihan letupan bom.
“Sifat sut bom ini untuk melindungi anggota, namun ia tidak memberi jaminan keselamatan 100 peratus untuk anggota tersebut terselamat daripada maut,” ujar Mohd. Hatta yang menyatakan keselamatan anggota bergantung pada saiz bom yang ditemui.
Sut yang berharga RM180,000 seunit itu juga boleh menyebabkan anggota yang memakainya terdedah kepada risiko kepanasan melampau sehingga si pemakainya pengsan jika tidak mempunyai ketahanan fizikal yang kuat.
“Justeru, anggota perlu memakai pakaian khas yang dipanggil pro-cool sebelum menyarung sut tersebut.
“Pakaian khas ini akan menyalurkan air bersuhu rendah untuk menyejukkan badan selain topi keledar yang mempunyai aliran udara dan kipas,” kata Mohd. Hatta.










