GERIK – Empat maut termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan treler membawa balak di Kilometer 59, Lebuh Raya Timur Barat, Gerik-Jeli di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 4.30 petang itu, tiga sekeluarga, Mohd. Nizam Suhaidin, 34, bersama isteri, Nurhafizah Ismail, 34, dan anak lelaki mereka, Mohd. Afiq, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Anak bongsu pasangan tersebut, Nur Hanania Maisara, 2, yang duduk di tempat duduk belakang bersama abangnya cedera akibat kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, nahas tersebut turut menyebabkan pemandu treler, Redzuan Abd. Ghani, 59, maut di lokasi kejadian.









