KLANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menafikan dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Beliau turut menepis dakwaan yang dilontarkan pemimpin Barisan Nasional dalam kempen sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bahawa kerajaan tidak memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam.
“Tidaklah (gagal tunai janji dan tidak perjuangkan Islam).
“Berapa hari kita dalam kerajaan? Berapa lama BN dalam kerajaan? Itu saya tanya baliklah,” katanya ketika ditemui pada Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Dewan Sekolah Rendah Agama Al-Ainani di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kempen BN yang memainkan isu kononnya kerajaan PH gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU-14 selain dilihat tidak serius memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehadiran peserta yang ramai pada Himpunan Kebangkitan Ummah adalah petanda bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan semakin merosot, Wan Azizah berkata:
“Kita baru berapa hari sahaja, mereka (BN) telah 61 tahun (memerintah), “ujarnya ketika ditemui Majlis Minum Petang bersama Calon dan Pengundi DUN Sungai Kandis di sini hari ini.
Semalam, Najib menyatakan bahawa kehadiran peserta yang ramai pada Himpunan Kebangkitan Ummah di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur itu adalah petanda sokongan rakyat kepada PH semakin merosot selepas PRU-14.
Menurutnya lagi, umat Islam yang menghadiri himpunan tersebut adalah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap masa depan agama Islam dan orang Melayu di negara ini.
Lebih 2,000 umat Islam dari seluruh negara membanjiri Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru bagi memnyertai himpunan yang bertemakan ‘Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam’. – K! ONLINE










