TAWAU 1 Julai – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memanggil semua agensi terlibat untuk bermesyuarat di bangunan Parlimen esok bagi membincangkan isu perkahwinan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang berkahwin dengan lelaki berumur 41 tahun.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah segera perlu diambil bagi memastikan nasib kanak-kanak berkenaan sentiasa terbela.
“Esok saya akan memanggil semua agensi yang terlibat tentang isu kanak-kanak 11 tahun itu.
“Perkara itu penting kerana kita mahukan yang terbaik untuk kanak-kanak tersebut dan pertimbangan sewajarnya untuk menjaga hak anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Isu perkahwinan kanak-kanak itu yang tinggal di Kelantan tular di media sosial baru-baru ini dan telah mengundang pelbagai reaksi pelbagai pihak yang simpati terhadap nasib kanak-kanak terbabit.
Lelaki tersebut dipercayai telah mempunyai dua orang isteri sebelum ini dan enam anak hasil perkahwinannya. – UTUSAN ONLINE











