KOTA BHARU – Tingkap bilik disiplin dan kaunseling sebuah sekolah menengah di Penambang di sini hari ini musnah selepas dipercayai dilempar ‘bom’ yang dibuat menggunakan mercun bola.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, sekolah tersebut digemparkan dengan bunyi letupan kuat dari belakang bilik disiplin dan kaunseling itu.
Seorang guru lelaki berkata, semasa kejadian dia berada di bangunan berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat diikuti dengan asap berkepul-kepul dari belakang blok sekolah berkenaan.
“Semasa kejadian terdapat enam orang guru di dalam kedua-dua bilik berkenaan. Letupan kuat itu mengakibatkan tingkap belakang bilik yang terletak di aras bawah itu bertaburan.
“Guru yang berada di dalam bilik tersebut memberitahu merasai gegaran dengan tekanan angin yang kuat selepas letupan kuat itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati terdapat jalan raya di belakang sekolah berkenaan dan dipercayai ‘bom’ berkenaan dilempar dari kawasan tersebut.
Pihak polis yang menjalankan siasatan turut menemui serpihan plastik mercun bola di lokasi kejadian. – K! ONLINE









