Tiga lelaki dipenjara sehari, denda RM10,000 kerana beri rasuah - Utusan Malaysia

Tiga lelaki dipenjara sehari, denda RM10,000 kerana beri rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada penguat kuasa agensi kerajaan, empat tahun lalu dan Februari lalu.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh iaitu Tan Kok Aun, 43; Loo Jiunn Shyan, 27, dan Ooi See Gee, 49, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Azman turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan, namun ketiga-tiga tertuduh membayar denda tersebut.

Kok Aun yang merupakan seorang sub kontraktor dituduh memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan Kedah, Nasru’ddin Abdul Rahman sebagai dorongan untuk tidak menjalankan ujian saringan air kencing terhadapnya di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara tertuduh, Jiunn Shyan yang merupakan pemilik kedai telefon bimbit dituduh melakukan perbuatan sama membabitkan wang tunai sebanyak RM1,100 kepada Nasru’din sebagai dorongan untuk melepaskan isterinya, Shirneen Goh yang disyaki positif dadah dalam ujian saringan air kencing di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Seorang lagi tertuduh, See Gee pula dituduh memberi rasuah wang tunai RM1,200 kepada pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor, Kamal Reza Kamal Pasha sebagai dorongan supaya dia tidak dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN