PORT DICKSON 19 Julai – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menafikan berlaku serangan ulat bulu laut yang membahayakan pengunjung di sekitar pantai Port Dickson di sini seperti yang tular dalam media sosial.
Pengarah Pelancongan dan Pengurusan Pantai MPPD, Muhammad Syamim Bazin berkata, ulat bulu itu memang wujud namun ia tidak memudaratkan pengunjung sehingga mengakibatkan masalah kulit serius seperti didakwa.
“Orang ramai diminta bertenang dan tidak terus menularkan video penemuan ulat bulu itu kerana dakwaan daripada perakam video tersebut adalah tidak benar.
“Setakat ini tiada lagi kes melibatkan serangan ulat bulu ini dan dengan hanya seekor ulat bulu yang dirakam tidak bermakna ia sedang menyerang perairan Port Dickson,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas penularan video berdurasi 50 saat dirakam oleh seorang lelaki yang menemukan ulat bulu berbahaya yang didakwanya di pantai Port Dickson.
Lelaki itu mendakwa ulat bulu tersebut adalah spesies sama menyerang pengunjung di sebuah pantai di Thailand baru-baru ini dan meminta pengunjung di pantai di sini supaya berhati-hati.
Sementara itu, tinjauan mendapati penularan video tersebut di media sosial turut disertakan dengan beberapa gambar seorang lelaki yang menghidap penyakit kulit serius kononnya akibat disengat ulat bulu berkenaan.
Bagaimanapun, berdasarkan komen orang ramai, pesakit yang mengalami penyakit misteri itu berasal dari Selangor dan tiada kaitan dengan kejadian disengat ulat bulu laut. – UTUSAN ONLINE










