Terowong misteri bantu menguji diri - Utusan Malaysia

Terowong misteri bantu menguji diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETERUJAAN tiga saintis muda, Eddy, Hani dan Lina mahu meneroka Lembah Kiara, hutan berusia lebih 130 juta tahun bertukar cemas selepas mereka secara tidak sengaja memasuki sebuah kubu lama yang penuh misteri.

Menurut Johan yang merupakan jurupandu kepada pengembaraan tiga saintis tersebut, hutan itu sudah lama tidak dikunjungi dan tiada sesiapa yang berani datang ke situ melainkan mereka bertiga.

Selepas berjalan melalui denai dan anak sungai, mereka telah singgah untuk berteduh di dalam sebuah terowong kerana hari tiba-tiba hujan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saat kaki melangkah masuk ke terowong tersebut, Eddy, Hani, Lina dan Johan berdepan keadaan gelap gelita.

Mereka mengalami ketakutan melampau setelah berdepan dengan haiwan seperti ular, lipas dan labah-labah, patung-patung dan organ manusia selain terpaksa mengharungi titi gantung yang tinggi.

Terowong misteri itu sebenarnya adalah tempat seorang saintis bernama Mark menjalankan kajian dan eksperimen.

Emosi takut yang melampau tanpa suatu sebab yang jelas ketika menyelusuri terowong untuk mencari jalan keluar telah menyebabkan mereka menjadi tidak rasional.

Pengalaman yang dilalui kumpulan tersebut menjelaskan fobia yang dialami seseorang dan kini boleh dirasai oleh pengunjung pameran Survive The Bunker di Pusat Sains Negara (PSN), Bukit Kira, Kuala Lumpur.

Salah seorang pengunjung, Norhaini Panot, 35, berkata, jantungnya berdegup laju dan rasa berdebar-debar apabila memasuki ruang pameran yang gelap dan mempunyai kesan asap, bau serta bunyi yang menyeramkan.

“Saya seorang yang geli dengan haiwan eksotik, jadi saya membayangkan mungkin ada ular, katak atau cengkerik bergerak di bahagian kaki semasa masuk ke dalam Survive the Bunker.

“Oleh sebab keadaan yang terlalu gelap, saya terpaksa meraba-raba, bergerak perlahan-lahan dan cuba memijak dengan stabil sebelum meneruskan langkah,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di PSN baru-baru ini.

Guru bimbingan kaunseling Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Rawang, Selangor itu mengakui rasa sedikit berdebar dan sentiasa tertanya-tanya namun nekad untuk mencabar diri mencari jalan keluar.

Sementara itu, Penolong Pegawai Sains PSN, Nur Amanina Yusuff, 32, berkata, pameran Survive The Bunker yang mula dibuka pada 12 Oktober tahun lalu adalah pameran fobia yang mengetengahkan 12 jenis fobia daripada lebih 400 jenis kebimbangan tidak rasional dalam diri pengunjung.

“Pengunjung akan merasai pengalaman berjalan di dalam gelap dan menempuh lapan zon dengan dimulakan dengan pintu masuk sebelum melangkah ke zon jalan berselirat.

“Seseorang yang mengalami klaustrofobia iaitu fobia pada ruang tertutup atau isolofobia (fobila berseorangan) akan memberi respons membekukan diri, mahu melarikan diri atau melawannya dengan terus mara ke depan,” katanya.

Cemas

Setelah berjaya melepasi zon berkenaan, pengunjung seterusnya akan berdepan dengan zon Exotic Isle yang menguji fobia kepada haiwan seperti monyet, ular, labah-labah dan lipas.

Pengunjung kemudian akan berdepan dengan zon Dark Alley. Mereka yang fobia dengan kegelapan akan merasa cemas dan takut.

“Zon seterusnya adalah zon api yang mengenal pasti fobia terhadap api (pirofobia). kawasan itu direka mempunyai kesan api dan asap.

“Selepas pengunjung melangkah ke zon seterusnya, mereka yang fobia dengan anak patung (pediofobia), rambut (chaetofobia), mayat (nekrofobia) dan darah (hematofobia) akan merasa takut apabila melihat patung-patung, organ dalaman dan bahagian badan manusia yang sebahagiannya mempunyai kesan darah,” tambah Nur Amanina yang telah bertugas di PSN selama tujuh tahun.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Biologi Universiti Sains Malaysia itu memberitahu, zon Loony Chamber pula merupakan tempat persembunyian saintis Mark.

“Sebaik pintu ditolak, pengunjung akan melihat gambar-gambar yang menakutkan lalu menimbulkan rasa tidak selesa.

Akhir sekali, pengunjung perlu melalui sebatang jambatan gantung atau acrophobia walk yang akan memberikan rasa gayat atau takut kepada mereka yang fobia dengan ketinggian.

Ruang pameran berkeluasan kira-kira 600 meter persegi itu dipantau menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan pergerakan dan keselamatan pengunjung.

Fasilitator yang ditempatkan di hujung ruang pameran akan membantu memberi penjelasan kepada pengunjung tentang perasaan takut yang mereka alami selain maklumat tentang jenis fobia yang biasa dialami seseorang individu.

Tidak rasional

Katanya, Survive The Bunker hanya terbuka kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas. Mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung, hipertensi, asma serta ibu mengandung tidak digalakkan menyertainya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman berkata, fobia menurut perspektif sains adalah ketakutan atau kebimbangan yang tidak rasional terhadap objek atau situasi tertentu atau spesifik.

“Fobia boleh mengganggu kebolehan individu secara keterlaluan iaitu melebihi bahaya sebenar.

“Majoriti individu mempunyai ketakutan terhadap sesuatu namun ia bukan pada tahap fobia,” katanya.

Fobia dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu fobia sosial dan fobia spesifik.

Menurut Roseliza Murni, fobia sosial merujuk kepada ketakutan yang keterlaluan dan tidak rasional terhadap situasi sosial, iaitu situasi yang memerlukan interaksi dengan individu lain.

“Ketakutan yang tidak rasional ini perlulah berpanjangan sekurang-kurangnya enam bulan. Majoriti individu yang mengalami fobia sosial adalah daripada golongan kurang berpelajaran, bujang dan dari kelas sosioekonomi rendah,” katanya.

Bagaimanapun, fobia spesifik yang diklasifikasikan berdasarkan lima jenis fobia.

Ia merujuk kepada ketakutan yang keterlaluan terhadap objek atau situasi sehingga individu terbabit mengelak dan boleh menyebabkan penderitaan.

“Fobia spesifik boleh dikategorikan terhadap fobia terhadap darah, suntikan atau kecederaan, situasi, persekitaran semula jadi dan haiwan.

“Antara jenis fobia spesifik lain pula adalah rasa takut atau mengelak situasi yang boleh menyebabkan tercekik, penyakit, bunyi kuat (akaoustikofobia), tempat luas atau terbuka (agorafobia) dan karakter memakai kostum seperti badut (koulrofobia),” tambahnya.

Bukan itu sahaja, Roseliza Murni juga memberitahu, jenis fobia yang lazim dialami masyarakat adalah fobia ular (ofidiofobia), ketinggian (akrofobia), penerbangan (avifobia atau aerofobia), petir dan kilat (astrofobia), tempat sempit atau tertutup (klaustrofobia). Pergigian (adontofobia), penyakit (nasofobia) dan bersendirian (isolofobia).

Fobia bagaimanapun berbeza dengan kebimbangan, ketakutan dan serangan panik.

“Individu yang mengalami fobia juga mengalami tahap kebimbangan dan ketakutan yang tinggi dan mereka seringkali mengalami serangan panik.

“Seseorang mengalami fobia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya pengalaman secara langsung, pemerhatian, informasi yang salah atau faktor genetik,” jelasnya.

Sementara itu, seorang penulis Amerika Syarikat yang merupakan pengasas bersama Program Neuro-Linguistik (NPL), Richard Bandler telah berkongsi pandangan beliau tentang cara-cara untuk mengatasi fobia menerusi beberapa langkah.

Menurut beliau, seseorang yang mengalami fobia perlu berhenti berfikir tentang ketakutan yang dialami.

“Dalam kebanyakan kes, fobia telah menjadi satu masalah besar kepada orang berfikir tentangnya sepanjang masa sekali gus merupakan satu pembaziran tenaga.

Gambaran melampau

“Saya meminta mereka untuk menilai berapa banyak masa yang mereka habiskan membimbangkan tentang fobia mereka setiap hari,” katanya seperti yang dipetik dalam laman web majalah The Best You. Selain itu, Bandler menyarankan seseorang yang mengalami fobia mencari alternatif untuk ketakutan yang dialami dengan perasaan ingin tahu.

“Rasa ingin tahu boleh mengatasi ketakutan. Jika anda tidak mempunyai perasaan ingin tahu, anda tidak meneroka dunia yang anda tinggal,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, Bandler berkata, mereka yang mengalami ketakutan melampau perlu berhenti membuat gambaran melampau.

“Sebagai contoh, individu yang fobia pada ketinggian perlu berhenti membuat gambaran bahawa mereka perlu melompat apa berada di tepi tebing.

“Sebaliknya, bayangkan diri mereka menjadi santai dan selesa serta menjauhkan diri dari kawasan tebing. Sekiranya dilakukan dengan betul, ia boleh berlaku dalam keadaan tidak sedar,” jelas beliau.

Seterusnya, lelaki yang banyak memberi ceramah tentang fobia itu mencadangkan individu mengatasi ketakutan dengan mengubah cara berfikir.

“Lakukan perubahan secara peribadi dengan mencipta sesuatu yang lebih baik, maka ia tidak kembali kepada ketakutan sebelum ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×