KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan mengenakan tarif air yang munasabah selepas penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan pada masa yang terdekat ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari baru-baru ini telah membincangkan perkara itu dan penstrukturan industri air di negeri itu akan dimuktamadkan mengikut perjanjian induk yang telah ditandatangani pada 2014.
“Penstrukturan semula perkhidmatan industri air di Selangor telah tertangguh pada tempoh yang lama akibat tiada persefahaman dan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebelum ini tetapi sekarang ia akan berjalan lancar kerana wujudnya kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan,” kata Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Gombak Setia dan menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri Selangor di Gombak dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham. – Bernama











