KUALA LUMPUR 20 Julai – Meskipun ada ura-ura yang mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low sudah ditangkap di China, namun belum ada pihak berkenaan yang mengesahkan perkara itu sehingga kini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negara itu dan Kedutaan China di Kuala Lumpur.
“Kita sedang buat semakan dengan polis dan Kedutaan China. Buat masa ini, tidak ada mana-mana pihak yang mengesahkan sama ada Jho Low ditangkap atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah dan Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Jabatan Pengurusan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di sini hari ini.
Pada majlis sama, bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab yang bersara menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada penggantinya, Datuk Asri Yusoff.
Majlis tersebut turut menyaksikan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 100 pegawai dan anggota bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada tanah air.
Kelmarin, Sarawak Report melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong yang tidak dinamakan menyatakan Jho Low telah ditahan di China.
Bagaimanapun, Bernama melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing belum menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan penahanan Jho Low.
Menurut sumber kedutaan ketika dihubungi, laporan beberapa portal media tempatan dan asing kononnya Jho Low ditahan masih tidak dapat disahkan.
“Setakat ini, kami di kedutaan belum mendapat sebarang maklumat berhubung penahanan Jho Low,” katanya.
Ketika diminta mengulas laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy mengenai kontroversi penularan gambarnya yang ‘menyembah’ raifal AK-47, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dalam perkembangan lain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa menafikan Seri Perdana dipecah masuk seperti yang ditularkan dalam media sosial sebelum ini.
“Tiada laporan polis yang dibuat dan kami percaya gambar dimuat naik itu adalah gambar lama.
“Seri Perdana dijaga oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), jadi sekiranya ada kejadian pecah masuk mestilah kami terima maklumat,” katanya.










