KUALA LUMPUR 20 Julai – Tabung Harapan Malaysia hari ini menerima sumbangan berjumlah RM650,000 daripada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dan Asia Pacific Platinum Business Club.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Menara Yayasan Selangor, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif YPNM, Muhammad Zharif Johor Nadzim berkata, pihaknya bekerjasama dengan Asia Pacific Platinum Business Club menganjurkan kempen Demi Pembangunan Negara bagi mengumpul wang sumbangan tersebut.
“Pada awalnya kami hanya menyasarkan RM250,000 dan RM50,000 telah diserahkan pada 1 Jun lalu sebagai tanda komitmen kami dalam menzahirkan semangat patriotisme sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Harapan Malaysia, di sini.
Yang turut hadir, Pengarah Strategi dan Ekonomi YPNM, Burhanuddin Mohd. Noor; Pengerusi Asia Pacific Platinum Business Club, Dr. Cecil Chao dan Ahli Kehormat Asia Pacific Platinum Business Club, Datuk Seth Yap Ting Hau.
Tabung Harapan Malaysia dilancarkan 30 Mei lalu sebagai usaha rakyat untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang mencecah RM1 trilion.
Sehingga pukul 3 petang lalu kutipan terkumpul Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM155.99 juta. – UTUSAN ONLINE










