SAINT PETERSBURG – Memori indah muncul sebagai naib juara Piala Dunia 1958 dijadikan sebagai motivasi terbaik buat Sweden ketika membenam cabaran Switzerland 1-0 dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Saint Petersburg malam tadi.
Pemain tengah The Blagult, Emil Forsberg muncul wira buat skuad kendalian Janne Anderson selepas meledak gol tunggal perlawanan.
Sweden kini memasang impian besar bagi mengulangi pencapaian terbaik mereka apabila berjaya layak ke pentas final Piala Dunia 1958 sebagai tuan rumah kejohanan.
Apa yang pasti, kejayaan itu berjaya menamatkan penantian The Blagult pada peringkat pusingan 16 pasukan terbaik sejak Piala Dunia di Jepun dan Korea Selatan pada 2002.
Dalam aksi itu, Switzerland tampil garang dengan menguasai sebahagian perlawanan sambil mengasak benteng pertahanan Sweden yang bermain dengan corak bertahan.
Switzerland hampir berjaya membuka tirai jaringan menerusi Steven Zuber tetapi pemain sayap itu gagal memanfaatkan hantaran Xherdan Shaqiri selepas tandukan gagal menemui gawang pada minit ke-24.
Tiba giliran Sweden menguji pintu gol Switzerland tetapi rembatan Elbin Ekdal tidak menemui sasaran pada minit ke-41, sekali gus keputusan tanpa jaringan kekal sehingga separuh masa pertama.
Bersambung pada babak kedua permainan, Switzerland menggandakan usaha untuk memburu gol pertama tetapi kesabaran Sweden mengekang asakan pasukan lawan akhirnya terbalas.
Ini kerana saat yang dinantikan-nantikan mereka akhirnya tiba selepas Forsberg meledak gol kemenangan menerusi bola tampanan yang berjaya menewaskan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer pada minit ke-66.
Sebagai rekod, Sweden layak ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama selepas pernah berbuat demikian pada edisi 1934, 1938, 1950, 1958 dan 1994. – Agensi











