JOHOR BAHRU 23 Julai – Sumbangan ekonomi bernilai RM600 juta yang disasarkan menerusi lebih 80 acara dan program anjuran Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) sehingga akhir tahun ini menurun berbanding dua tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Datuk Zulkefli Sharif berkata, jumlah itu berbeza dengan 2017 yang diadakan 151 acara dan program dengan kesan ekonomi bernilai RM15.691 bilion.
“Sementara pada tahun 2016 pula sudah diadakan 153 acara dan program dengan kesan ekonomi bernilai RM40.89 bilion,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Jelajah MyCEB Johor 2018 di Double Tree Hilton Hotel di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Mohd. Faharuddin Hatmin dan Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail.
Beliau memberitahu, dalam tempoh lima bulan pertama ini sumbangan ekonomi bernilai RM545 juta diperoleh menerusi penganjuran 70 acara dan program sekali gus melepasi sasaran MyCEB.
“Tahun ini kita mensasarkan sebanyak 80 acara merangkumi konvensyen atau forum perniagaan yang akan melibatkan pelbagai jenis agensi luar dan dalam negara. Setakat ini kita sudah melaksanakan sebanyak lebih 70 program.
“Tidak mustahil sasaran yang ditetapkan ini mampu diperoleh memandangkan daripada rekod yang kami ada, setakat ini sahaja acara dan program dilaksanakan itu telah pun menyumbang sebanyak RM545 juta pulangan kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










