Sumbangan dan semangat Mazlan - Utusan Malaysia

Sumbangan dan semangat Mazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 10 Oktober 2007, Malaysia mencipta sejarah melalui penghantaran Angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Ia menjadi petanda satu lagi pencapaian di peringkat dunia yang mampu diraih oleh rakyat negara ini. Kejayaan yang pada mulanya dianggap mustahil itu telah dirangka kerajaan menerusi program Angkasawan Negara pada 2003 yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sudah pasti peristiwa bersejarah berkenaan paling diingati seluruh rakyat negara ini. Namun, di sebalik kejayaan tersebut, pas­tinya tidak ramai mengetahui siapakah tokoh penting yang meng­ilhamkan program bersejarah itu.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Maz­lan Othman ialah antara individu utama terlibat dalam rangka projek misi angkasawan negara itu agar nama Malaysia mampu berdiri sebaris dengan negara luar yang berjaya dalam bidang angkasa lepas. Ia adalah langkah besar negara dan merupakan program pembangunan bidang sains dan teknologi saintifik dalam membina imej negara di mata antarabangsa.

Beliau yang sebelum itu berkhidmat sebagai Pe­ngarah di Pejabat Hal Eh­wal Angka­sa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria kembali ke negara ini atas permintaan Dr. Mahathir dan berkhidmat sebagai Ketua Pe­ngarah Bahagian Sains Angkasa (Baksa) Malaysia yang antara lain bertanggungjawab terhadap penubuhan Agensi Angkasa Le­pas Malaysia.

Dr. Mazlan, anak jati Negeri Sembilan ialah satu-satunya wa­ni­ta yang terlibat dalam bidang as­tronomi dan profesional astrofizik di negara ini. Dilahirkan pada 11 Disember 1951, kepintaran sains mula terserlah sejak melanjutkan pelajaran di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan ketika berumur 12 tahun.

Beliau yang merupakan anak kesembilan daripada 13 adik-beradik kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang sains ke Universiti Otaga, New Zealand di bawah biasiswa Colombo Plan. Lebih membanggakan, beliau me­ngukir nama sebagai wanita pertama dari seluruh dunia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Astrofizik dari universiti berkenaan pada 1981.

Keberadaan Dr. Mazlan di luar negara satu-satunya wanita yang menuntut bidang dalam itu dalam kala­ngan lelaki sudah pasti dianggap akan wujud satu kekangan besar. Namun, perkara itu langsung tidak men­jadi satu ca­baran baginya ke­rana beliau akan berkawan dengan sesiapa sahaja ti­dak mengira bangsa atau jantina selagi mereka itu ada kepakaran tertentu.

Lagipun, menurut penerima Anugerah Blue Planet dari Rusia itu, tradisi pembelajaran di New Zealand tidak mempunyai hie­rarki. Hubungan pelajar dan profesor amat rapat. Mereka di sana tidak membezakan warna kulit, bangsa atau jantina.

“Ibu bapa saya juga tidak pernah gementar untuk melepaskan saya belajar di sana, malah ayah amat menggalakkan saya belajar sehingga peringkat PhD. Tetapi sudah tentu ibu sedikit risau tentang mentaliti orang akan berpendapat sebagai perempuan, tiada suami nanti akan jadikan isteri jika belajar terlalu tinggi,” katanya yang menghabiskan masa selama sembilan tahun di negara itu.

Menurut ibu kepada dua orang anak ini, beliau turut mengambil pendekatan menggalakkan anak-anaknya pula melanjutkan pelajaran ke luar negara. Anaknya yang pertama mendapat tempias kepakarannya dalam bidang ae­ro­angkasa.

Sejak kecil lagi, beliau yang menjadikan Albert Einstein sebagai sumber inspirasi bertekad untuk memberikan sumbangan kepada negara. Ini kerana kata­nya, beliau yang pernah tersenarai dalam 50 wanita paling berinspirasi dunia pada 2011 itu, negara masih kekurangan saintis yang mampu membangunkan Malaysia dalam bidang itu. Beliau akui membuat keputusan tepat untuk memilih ilmu sains sebagai jalan yang mahu diceburinya walaupun pada awal tidak meminatinya dan sama sekali tidak menyesal dan pandang ke belakang.

Menyebut soal diskriminasi gender, Pengarah Akademi Sains Negara itu berkata, rakyat negara ini amat bertuah kerana perkara itu tidak berlaku. Pada masa sama, beliau menyokong peruntukan kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar supaya tidak ada kelompangan antara lelaki dan wanita. Bagaima­napun, beliau gembira ketika ini sudah ramai wanita ke hadapan, dilantik sebagai ketua setiausaha di peringkat kementerian selain ramai tokoh korporat wanita.

Walaupun telah lama mene­tap di negara luar, bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) itu merasakan setiap daripada rakyat negara ini yang mempunyai kepakaran tertentu perlu memberikan sumbangan semula kepada negara.

“Memang betul kita boleh menyumbang di mana-mana sahaja kita berada di dunia ini, itu tidak boleh dinafikan. Tetapi kalau kita fikirkan impaknya kepada negara sendiri, ia jauh lebih besar. Kalau dibandingkan negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), mereka sudah kaya dengan para intelek­nya. Bandingkan dengan Malaysia, kita masih kekurangan para intelek dalam semua bidang. Bayangkan kalau kita boleh berikan sesuatu dalam bidang itu,” jelas pakar astrofizik ini.

Dr. Mazlan yang tercalon sebagai penerima Anugerah Tokoh Srikandi 2018 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu turut berpendapat, sebagai seorang pelajar Melayu, beliau tidak pernah lupa kemela­yuannya dan seorang rakyat Malaysia.

“Di mana sahaja saya berada, saya akan ingat bahawa saya adalah orang Malaysia. Walaupun saya suka berada di negara luar dari segi persekitarannya, namun saya berfikir saya perlu balik dan menyumbang kepada ma­syarakat,” katanya yang turut meletakkan harapan agar GPMS terus berperanan sebagai tonggak pendidikan negara dan memastikan bahawa anak-anak yang kita didik menjadi orang yang berguna dan pemimpin untuk masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN