Suami main bola di Rusia, isteri bertarung lahirkan anak - Utusan Malaysia

Suami main bola di Rusia, isteri bertarung lahirkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ST. PETERSBURG 2 Julai – Ketua pasukan Sweden, Andreas Granqvist adalah antara pemain terbaharu menunggu kelahiran anak ketika sibuk menghadapi saingan pusingan kedua kalah mati Piala Dunia FIFA 2018 menentang Switzerland di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isteri beliau dijadual bersalin anak kedua pada hari yang sama dengan perlawanan penting itu di kampung halaman mereka menyebabkan Granqvist kini berada dalam dilema sama ada mahu pulang atau kekal bersama pasukan negaranya.

Buat masa ini, pemain pertahanan tengah itu belum bercadang untuk meninggalkan kem latihan Sweden tetapi tidak menolak kemungkinan pulang ke negaranya jika keadaan memaksa.

“Isteri saya (Sophie) hadapinya dengan hebat. Tiada perubahan lagi setakat ini. Saya masih tunggu dan lihat. Ketika ini fokus saya masih kepada perlawanan esok. Dia wanita yang kuat (semangat),” kata Granqvist.

Granqvist bagaimanapun bukanlah satu-satunya pemain yang berdepan situasi sedemikian pada Piala Dunia kali ini sebaliknya penyerang Switzerland, Breel Embolo baharu sahaja kembali ke Rusia selepas pulang untuk menyambut kelahiran anak pertamanya.

Manakala pemain-pemain Denmark dilaporkan berkongsi duit untuk menyewa jet peribadi bagi membolehkan rakan sepasukan mereka, Jonas Knudsen pulang menyambut kelahiran anak perempuannya ketika masih beraksi di peringkat kumpulan lalu.

Pertahanan England, Fabian Delph pula bagaimanapun masih belum kembali ke Rusia kerana masih bersama isterinya menyambut kelahiran anak ketiga di kampung halaman mereka. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN