SST kurang beban rakyat - Utusan Malaysia

SST kurang beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai -Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kurang membebankan rakyat berban­ding cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan terdahulu.

Menurut Perdana Menteri, dari segi jumlah kutipan, SST hanya memungut RM20 bilion hingga RM25 bilion berbanding RM42 bilion pungutan GST.

‘‘Bermakna, rakyat diselamatkan sebanyak RM20 bilion kerana kita amalkan SST,’’ katanya sele­pas mempengerusikan Mesyuarat Kepemimpinan Tertinggi Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Dr. Mahathir turut menyangkal dakwaan kononnya SST akan menaikkan harga barang kerana banyak barangan tidak dikenakan cukai berkenaan.

Tegasnya, banyak barangan yang dahulunya dikenakan GST tidak dikenakan SST, sekali gus rakyat menanggung beban yang lebih ringan.

Beliau berkata, GST digunakan untuk mengaut kekayaan, namun rakyat terpaksa membayar cukai terhadap barangan keperluan harian mereka.

‘‘Tidak ada asas yang mengatakan SST akan menaikkan harga (barang) kerana bukan jumlah SST itu sebanyak 16 peratus atau pun 10 peratus, ada barang tertentu yang tidak dikenakan SST sama sekali dan ada yang dikenakan hanya lima peratus ataupun 10 peratus bergantung kepada item yang terbabit,’’ katanya.

Mengenai terdapat badan pro­fesional yang kecewa kerana ti­dak diberi ruang oleh kerajaan untuk terbabit dalam perbinca­ngan mengenai rang undang-undang SST, Dr. Mahathir berkata, mereka boleh menemui Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bagi memberikan sebarang cadangan.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, CEP sudah me­ngadakan banyak pertemuan dengan pihak berkepentingan (stake holders) dalam membuat sebarang keputusan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN