SST : Harga rumah bakal turun? - Utusan Malaysia

SST : Harga rumah bakal turun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 20 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjangkakan harga rumah yang menjadi sebahagian keluh-kesah rakyat bakal turun dengan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, penurunan itu disebabkan oleh komponen dan bahan pembinaan yang tidak lagi dikenakan caj sebagaimana dalam amalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terdahulu.

Bagaimanapun, katanya, buat permulaan ini sukar untuk kerajaan menjangkakan seberapa banyak kesan penurunan itu justeru mengajak rakyat mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga selepas akta tersebut dilaksanakan.

“Dari segi teori kos rumah akan turun dengan adanya SST, kita kena ‘tunggu dan lihat’ kerana selepas dilaksanakan baru boleh nampak kesan yang praktikal.

“SST tidak akan memberi sumbangan begitu tinggi kepada kenaikan kos harga rumah berbanding GST kerana kesemua komponen pembangunan termasuk besi, simen, kayu dan apa jua bahan pembinaan dikenakan caj,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di kediamannya di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan SST yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan mencadangkan 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus bagi cukai perkhidmatan.

Guan Eng menambah, SST dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan bagi 2018 dan hasil tersebut akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian kerajaan sebanyak RM21 bilion selepas memansuhkan GST bermula Jun lalu.

Dalam perkembangan sama, Raja Kamarul Bahrin Shah menyeru kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak kementerian dalam memastikan matlamat menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan memerlukan akan tercapai.

Katanya, di Terengganu misalnya, ia boleh dikatakan sebagai antara negeri yang ‘terdesak’ dari segi pemilikan rumah justeru, beliau berharap kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang dapat melakukan usaha-usaha untuk mengurangkan kos pembelian kediaman.

“Untuk merendahkan harga rumah bergantung kepada dua faktor iaitu pembinaan dan tanah, jadi yang kita boleh kuasai adalah kos pembinaan kerana tanah kalau di Terengganu adalah milik kerajaan negeri,

“Kalau kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan memberi kos tanah yang berpatutan dan rendah, InsyaAllah sasaran untuk memberi kos-kos ini kepada mereka yang memerlukan dengan harga berpatutan akan tercapai,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN