PULAU PINANG 3 Julai – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia membabitkan nilai pertaruhan mencecah RM1.8 juta.
Menerusi 36 serbuan yang dijalankan dalam Op Soga bermula 14 Jun lepas di seluruh negeri ini, seramai 39 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam siri serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas wang tunai RM23,885, 13 helai kertas disyaki kutipan pertaruhan, 41 unit telefon bimbit, enam buku kecil, serta satu komputer riba.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kegiatan berkenaan dijalankan di kedai-kedai kopi dan kawasan terbuka, manakala nilai pertaruhan bergantung kepada pasukan yang bertanding.
“Nilai pertaruhan bermula RM1 hingga RM5,000 dan akan meningkat sekiranya membabitkan perlawanan pasukan pilihan seperti Brazil, Portugal, Argentina, Belgium, Sepanyol dan England,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Roslee Chik.
Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata, kesemua tangkapan berkenaan telah dirakam percakapan untuk mengesan dalang utama yang menganjurkan kegiatan perjudian itu.
“Mereka yang ditahan membabitkan 38 lelaki dan seorang wanita Cina dalam lingkungan umur 20-an hingga 60-an.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Thaiveegan memaklumkan, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, polis telah melakukan 604 serbuan berkenaan judi loteri haram membabitkan tangkapan sebanyak 616 orang.
“Sebanyak 310 kes telah dituduh di mahkamah manakala bagi kegiatan judi dalam talian, polis telah melakukan 13 serbuan membabitkan tangkapan 63 orang,” katanya.











