PERSIDANGAN Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 dijadual bermula 23 hingga 25 Julai ini dijangka menarik perhatian selepas berakhirnya krisis pelantikan Menteri Besar yang berlarutan lebih sebulan sebelum ini.
![]() |
|
Azlan Man
|
Pelbagai jangkaan dalam sidang DUN kali ini sama ada wakil-wakil rakyat khususnya daripada Barisan Nasional (BN) akan membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar atau terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Azlan Man.
Selain itu, sidang DUN Perlis kali ini juga bakal menyaksikan 10 muka baharu iaitu enam daripada BN serta empat membabitkan wakil rakyat daripada PKR dan Pas.
Muka baharu yang bakal mewarnai sidang DUN kali ini ialah Azizan Sulaiman (BN-Santan); Rozaini Rais (BN-Beseri); Siti Berenee Yahya (BN-Mata Ayer);Hamizan Hassan (BN-Kayang); Roziena Ahmad (BN-Pauh) dan Teh Chai Ann (BN-Titi Tinggi).
Selain Mohd. Shukri Ramli (Pas-Sanglang), pembangkang kali menampilkan empat muka baharu iaitu Azrul Nizan Abd. Jalil (PKR-Sena); Gay Ay Ling (PKR-Indera Kayangan); Nor Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji).
BN mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 10 kerusi DUN Perlis dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), manakala PKR mendapat tiga kerusi dan Pas dengan dua kerusi.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang dari BN, Datuk Ismail Kassim kemudian mengumumkan keluar daripada parti pada 20 Jun lalu dengan menjadi ADUN Bebas.
Persidangan DUN kali ini juga berbeza daripada sebelum-sebelum ini apabila BN Perlis perlu menyesuaikan diri sebagai negeri pembangkang bersama Pahang selepas Kerajaan Pusat dikuasai oleh Pakatan Harapan.
Selain itu, BN juga tidak boleh selesa apabila wakil daripada pembangkang di negeri ini meningkat kepada lima selain seorang ADUN Bebas yang dijangka bakal mengamatkan suasana dewan dengan pelbagai isu yang akan dibangkitkan.
Sementara itu, Chai Ann berkata, beliau sebagai muka baharu dalam sidang DUN kali ini akan menggunakan platform ini bagi membawa suara rakyat di negeri ini dan kawasannya.
“Perasaan berdebar itu ada namun akan menjadi kebiasaan selepas ini. Saya juga ingin beritahu bahawa desas-desus kononnya wakil rakyat BN akan membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar tidak akan berlaku,” katanya.- UTUSAN ONLINE











