SUBANG JAYA – Siasatan ke atas kes kematian mendiang Teoh Beng Hock dibuka semula selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima arahan untuk berbuat demikian dari Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah menerima arahan tersebut pada Selasa lalu.
“Kami perlukan masa untuk menyelesaikannya namun kertas siasatan kes tersebut akan tetap dilengkapkan berdasarkan arahan yang diterima.
“Sebaik selesai, kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk arahan dan tindakan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Polis Oleh Konsesi Plus Malaysia Bhd. kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Persada Plus, di sini, hari ini.
Beng Hock merupakan bekas pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wan.
Pada 16 Julai 2009 lalu, mayat Beng Hock ditemui di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam, sehari selepas dia ditahan suruhanjaya tersebut bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan wang wakil rakyat di Selangor.
Permohonan untuk membuka semula siasatan kes berkenaan telah dibuat oleh keluarga mendiang pada 2011 namun ditolak oleh mahkamah.
Pada tahun 2014, permohonan sama telah dibuat sekali lagi di Mahkamah Rayuan namun turut ditolak. – K! ONLINE










