LIVERPOOL – Liverpool secara rasminya menandatangani khidmat pemain tengah, Xherdan Shaqiri daripada Stoke City semalam selepas menebus klausa pelepasan berjumlah £13 juta (RM69.68) yang terdapat dalam kontrak pemain berkenaan selepas The Potters jatuh liga.
Menurut pemain antarabangsa Switzerland itu, peluang beraksi bersama skuad The Reds merupakan satu pengiktirafan terhadap dirinya dan dia berhasrat untuk menggunakan medium tersebut untuk terus mengembangkan prestasinya selaku pemain sayap.
“Saya sangat gembira kerana berada di sini. Liverpool merupakan kelab gergasi, penuh sejarah, bintang-bintang hebat serta jurulatih yang menakjubkan. Saya sudah tidak sabar untuk berlatih di bawah bimbingan Jurgen Klopp.
“Sebagai pemain profesional, saya sentiasa mahu berada pada tahap tertinggi serta bersama pasukan gergasi bola sepak dunia. Beberapa tahun lalu saya mahu datang ke Liverpool tetapi ia tidak berlaku. Namun, kini saya sangat gembira kerana akhirnya menjadi salah seorang dalam skuad The Reds.
“Saya akan memberikan segala-galanya kepada pasukan bagi membuktikan pelaburan Liverpool tidak sia-sia. Sudah tentu matlamat utama adalah untuk meraih gelaran yang dipertandingkan musim depan.
Sebagai rekod, Shaqiri telah berhijrah ke Stoke pada 2015 dan berjaya meledakkan 15 gol dalam 92 penampilannya bersama skuad The Potters. Kegagalan Stoke untuk kekal dalam kancah Liga Perdana England telah menyebabkan beberapa pemain tonggaknya berhijrah menyertai pasukan baharu.
Sementara itu, Klopp yakin Shaqiri akan mendatangkan impak lebih besar buat skuadnya.
“Shaqiri boleh beraksi di banyak posisi dengan menggunakan sistem kami. Sudah tentu dia menjadikan skuad Liverpool lebih fleksibel. Jujurnya, saya memang sudah lama meminati bakat yang ada pada Shaqiri,” kata Klopp. – Agensi











