PERTEMBUNGAN dua pasukan gergasi negara, Selangor menentang Pahang sudah pastinya bakal menyajikan aksi penuh mendebarkan apabila masing-masing melaungkan keyakinan untuk menjulang Piala FA pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Pahang di bawah bimbingan Dollah Salleh sudah tentunya enggan mengulangi skrip tahun lalu apabila skuad Tok Gajah terpaksa menggigit jari dan kempunan untuk mendakap Piala FA selepas tewas 2-3 kepada Kedah pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam musim lalu.
Meskipun diletakkan sebagai pasukan underdog, skuad Gergasi Merah yang dibimbing Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir tetap memasang impian gah untuk melakar sejarah merangkul Piala FA kali keenam, selepas kali terakhir menjulang trofi itu pada 2009.









