BEKALAN jaringan besar sudah cukup buat Selangor untuk meraih tiket beraksi di pentas final Piala FA musim ini meskipun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.
Skuad Gergasi Merah mempunyai kelebihan empat gol pada aksi pertama mereka di Cheras minggu lalu selepas berjaya menundukkan PKNS FC menerusi hatrik pemain importnya, Rufino Segovia dan gol sendiri Azmizi Azmi.
Dalam aksi kedua di Shah Alam, pasukan tuan rumah berpeluang meraih gol pembukaan menerusi rembatan Safee Sali, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Mohd. Khairulazhan Khalid pada minit ke-52.
Bagaimanapun, asakan berterusan skuad Gergasi Merah ternyata membuahkan hasil selepas Rufino berjaya memanfaatkan peluang dengan baik atas kesilapan pemain pertahanan PKNS FC, Daniel Ting pada minit ke-72.
PKNS FC bagaimanapun meraih gol saguhati apabila pemain gantiannya, Mohd. Alif Haikal Mohd. Sabri berjaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-90.
Keputusan tersebut menyaksikan Selangor berjaya memperoleh tiket ke pentas final selepas menang dengan agregat 5-1 ke atas skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu.
Selangor bakal berdepan Pahang atau pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang akan membuat perhitungan pada separuh akhir kedua di Ipoh malam ini.











