PULAU PINANG 9 Julai – Memasuki tahun ke-10, pengiktirafan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) disambut meriah pada Sabtu lalu.
Bertemakan Potential: Dari Kisah Silam, Untuk Masa Kini, Demi Masa Hadapan, pelbagai program dianjurkan menerusi Festival Jalanan pada sambutan itu yang bermula pukul 7 hingga 11 malam.
Mengambil tempat di sepanjang Lebuh Armenian dan kawasan sekitarnya di tengah-tengah pusat bandar raya Georgetown, ribuan pengunjung khususnya pelancong dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang bersama-sama meraikan sambutan hari bersejarah berkenaan.
Lebih menarik, festival itu turut mendapat sokongan dan kerjasama kira-kira 21 komuniti atau kumpulan masyarakat setempat yang selama ini menghidupkan Georgetown sebagai sebuah kawasan dengan latar belakang pelbagai kaum dan agama.
Kesemua komuniti itu menawarkan pengalaman budaya dan corak hidup menerusi 21 bengkel komuniti bertemakan Perayaan Kemakmuran, Kraf Buatan Tangan, Keenakan Rasa dan Aktiviti Leisure.
Menerusi bengkel-bengkel itu, pengunjung berpeluang merasai pengalaman keunikan ciri-ciri budaya dan tradisi setiap komuniti melalui makanan, permainan, kraf tangan dan bahasa.
Aktiviti berasaskan perayaan warisan pula memberi peluang kepada pengunjung menjejaki tapak warisan dengan mengunjungi sebanyak lapan rumah ibadat di sekitar pusat bandar antaranya Masjid Kapitan Keling, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Gereja St. George, Gereja Assumption, Kramat Dato Koyah, Kuil Nattukotai Chettiar,Gurdwara Sahib Polis dan Kuil Thai Pak Koong.
Menurut Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee, ulang tahun ke-10 Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia disambut dalam semangat bandar raya itu yang kekal sebagai sebuah bandar kosmopolitan dinamik sejak penubuhannya kira-kira 232 tahun lalu.
Jelasnya, Georgetown merupakan tapak awal kepada generasi terdahulu melakukan pertukaran barangan, idea, tradisi, makanan, muzik dan pelbagai aktiviti lain.
Pada masa sama, ujar beliau, generasi awal kota itu turut mempelajari, menghormati dan menerima kepelbagaian budaya dalam suasana yang terbuka serta memberi penghargaan antara satu sama lain.
“Pengalaman dahulu telah memperkaya identiti penduduk di Georgetown khususnya dan Pulau Pinang amnya. Kami berasa bangga untuk mewarisi adat resam, gaya hidup, monumen dan barangan yang diturunkan dari generasi ke generasi.
“Di samping itu, kami juga mengalami jatuh bangun semasa melakukan usaha pemeliharaan dan penjagaan warisan budaya dan saya melihat sambutan hari ini adalah peluang yang baik ke arah usaha memelihara dan menjaga warisan budaya Georgetown,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-10 Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia di Lebuh Armenian di sini yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Dalam majlis sama, Kon Yeow turut merasmikan tugu plak bagi meraikan 10 tahun perkembangan sejak Georgetown dan Melaka (bandar-bandar bersejarah di Selat Melaka) disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia.









