MADRID – Pemenang lima gelaran Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo sudah bersedia membuka ‘buku baharu’ dalam kariernya selepas Real Madrid bersetuju melepaskannya menyertai gergasi Itali, Juventus.
Ronaldo, 33, dijangka menjalani ujian perubatan di Turin minggu depan sebelum melengkapkan perpindahan itu dengan kontrak lumayan dianggarkan bernilai AS$340 juta (RM1.37 bilion) untuk tempoh empat tahun.
“Real mengucapkan terima kasih kepada Ronaldo yang telah membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik dunia dan juga salah seorang legenda dalam sejarah kelab ini serta bola sepak dunia,” menurut kenyataan Real.
Juventus dikatakan perlu membayar yuran perpindahan berjumlah AS$140 juta (RM563.6 juta) dengan kapten Portugal tersebut bakal menerima gaji tahunan bernilai AS$35 juta (RM140.9 juta).
Ia tidak termasuk bonus dan insentif yang dijangka keseluruhan mencecah AS$64 juta (RM257.6 juta) setahun, sekali gus menyaksikan Ronaldo sanggup menerima potongan gaji di Juventus berbanding AS$66 juta (RM265.6 juta) yang mahu dibayar Real jika dia kekal.
Bekas bintang Manchester United itu berharap para penyokongnya dan juga peminat tegar Real memahami keputusannya untuk berhijrah menyertai Juventus.
“Saya merasakan sudah sampai masanya untuk membuka ‘buku baharu’ dalam karier saya. Saya berharap semua orang terutama penyokong saya faham situasi ini,” jelasnya.
Sepanjang bersama Real, Ronaldo menjulang empat gelaran Liga Juara-Juara, dua kejuaraan La Liga, dua Piala Raja Sepanyol, dua Piala Supercopa Sepanyol, dua Piala Super Eropah dan tiga Piala Kelab Dunia sejak menyertai pasukan itu pada 2009. – Agensi










