PUTRAJAYA 20 Julai – Restoran D’Tandoor akan membuka tiga lagi cawangan di Indonesia pada tahun hadapan sejajar dengan usaha untuk mengembangkan sayap perniagaannya di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, D’Tandoor kini telah mempunyai cabang perniagaan di luar negara iaitu di Australia, New Zealand, Arab Saudi dan Kemboja.
“Kita juga merancang membuka cawangan lain di Singapura, Brunei dan Thailand, tetapi buat masa ini ia masih di peringkat cadangan.
“Jika rancangan ini berjaya, D’Tandoor bakal menjadi peneraju restoran masakan India Utara dari Malaysia yang berjaya mengembangkan pasaran di peringkat global,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka #TerlajakRaya di Restoran D’Tandoor Putrajaya di sini semalam.
Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Pada masa sama, Abdul Malik berkata, pihaknya sedang merancang untuk memasuki bidang katering dalam penerbangan menerusi pelan jangka sederhana perniagaan.
Katanya, selepas berada di pasaran hampir 25 tahun, D’Tandoor perlu melebarkan potensi perniagaannya berbanding kini yang memfokuskan bidang katering dan restoran.
“Sepanjang tempoh itu, kami telah melalui pelbagai cabaran termasuk berhadapan tindakan undang-undang, aduan para pelanggan dan prestasi naik turun perniagaan.
“Namun dengan berkat sokongan para pelanggan setia dan pekerja berdedikasi, Alhamdulillah kami mampu berjaya dan bertahan sehingga ke hari ini,” katanya.











