Resort rugi RM200,000 lepas 13 bilik terbakar - Utusan Malaysia

Resort rugi RM200,000 lepas 13 bilik terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 21 Julai – Pengusaha Seri Melawi Resort, di sini mengalami kerugian sehingga lebih RM200,000 apabila 13 bilik resort itu dan sebuah stor miliknya hangus dalam kebakaran malam tadi.

Pengurus resort itu, Mohd. Hyder Syahril Mohd. Nor, 25, berkata, kejadian itu dikesan berlaku pada pukul 8.35 malam bermula dengan kebakaran tilam dari sebuah bilik yang berkunci yang disewa oleh pengunjung.

Menurutnya, mereka terpaksa memecah pintu bilik untuk memadamkan api yang membakar sebahagian tilam dan dinding chalet namun gagal menghalang kebakaran yang cepat merebak.

“Saya mendapati terdapat satu power bank yang disambung pada plug elektrik dalam keadaan terbakar di atas tilam. Mungkin itu punca sebenar.

“Ketika kejadian itu keseluruhan 13 bilik disewa oleh 25 tenaga pengajar kelas Tabika Islam dari Kota Bharu menjalankan aktiviti mereka di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khairu Yusoff ketika dihubungi berkata, operasi memadam kebakaran dilakukan 14 anggota bomba daerah ini dan Balai Bomba Pengkalan Chepa.

“Semasa tiba di lokasi, kebakaran telahpun melibatkan seratus peratus kemusnahan pada blok 1 dan 80 peratus pada blok 2.

“Penginap blok 1 seramai 25 orang terdiri daripada guru-guru PASTI yang mengadakan majlis hari keluarga berada di dewan bersebelahan pada masa kejadian untuk solat Isyak. Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN