KOTA KINABALU – Ketika rakan sebayanya sibuk mengulangkaji pelajaran, seorang remaja lelaki pula leka menagih dadah sehingga dia dicekup dalam Ops Cegah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu di sini malam tadi.
Dalam serbuan bermula lebih kurang pukul 10 pagi hingga 10 malam tersebut, selain suspek berusia 15 tahun, pihak AADK turut menahan lapan lagi individu berusia antara 24 hingga 57 tahun kerana dipercayai positif dadah jenis syabu.
Menurut kenyataan AADK, Ops Cegah yang diketuai Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh itu dijalankan di sekitar Putatan, Sembulan, Inanam dan Manggatal dekat sini.
“Berpandukan maklumat daripada orang awam, Ops Cegah ini segera dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah terus berleluasa di kawasan sekitar.
“Hasil operasi terbabit seramai sembilan lelaki tempatan telah ditahan kerana saringan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu atau methamphetamine,” katanya hari ini.
Kesemua individu itu kini ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE










