‘Rehat senyap’ kuatkan memori otak - Utusan Malaysia

‘Rehat senyap’ kuatkan memori otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EDINBURGH 9 Julai – Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Heriot-Watt di Scotland mendapati bahawa merehatkan badan selama 10 minit selepas pelajari sesuatu yang baharu boleh me­ningkatkan tahap kefahaman terhadap perkara tersebut.

Jakarta Post yang memetik Neuroscience melaporkan, kajian tersebut mendapati rehat dalam keadaan senyap bukan sahaja boleh meningkatkan tahap kefahaman, tetapi boleh membantu seseorang individu menambahkan daya ingatannya.

Ketua pengkaji, Michael Craig berkata, sistem memori berupaya menguatkan kenangan baharu yang lemah menerusi kaedah mengaktifkan semula di mana aktiviti otak mula dipantau ketika proses pembelajaran dilakukan dan keadaan itu boleh diaktifkan ketika berehat atau tidur dalam keadaan senyap.

“Kami berpendapat rehat secara senyap boleh membantu menguatkan memori baharu dalam otak, namun kami tidak mempunyai penjelasan yang lengkap bagaimana keadaan itu boleh membantu individu menambahkan daya ingatan mereka terhadap sesuatu yang dipelajari,” katanya.

Sehubungan itu, Craig dan seorang lagi rakannya, Michaela­ Dewar mengadakan ujian memori yang boleh mengesan perbezaan kecil dalam beberapa memori baharu.

Seterusnya, dua pengkaji tersebut meneliti hasil yang diperoleh daripada ujian tersebut untuk melihat apa yang dilakukan otak ketika manusia berehat.

Dalam ujian itu, peserta akan ditunjuk gambar-gambar lama serta baharu untuk melihat daya ingatan mereka dalam mengenal pasti sebarang perbezaan yang terdapat pada gambar-gambar tersebut.

Craig memaklumkan ujian memori berkenaan menunjukkan golongan dewasa muda yang berehat secara senyap dalam tempoh 10 minit boleh mengesan perbezaan dalam gambar yang sama.

Keadaan itu secara tidak langsung menyimpulkan individu yang berehat dalam keadaan senyap boleh meningkatkan tahap ingatan serta kefahaman mereka terhadap sesuatu perkara berbanding mereka yang tidak berehat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN