Red Giants kembali ke Shah Alam - Utusan Malaysia

Red Giants kembali ke Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Selepas dua musim mengharungi Liga Malaysia dengan ‘menumpang’ di laman lawan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengesahkan Red Giants bakal kembali menggunakan gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam untuk kempen Piala Malaysia tahun ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, ini adalah langkah pertama pengurusan baharu FAS dalam mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri tersebut.

Tambahnya, surat permohonan untuk menggunakan Stadium Shah Alam sudah dihantar kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) beberapa hari lalu, dan badan pengendali liga itu sudah memberi kebenaran kepada Selangor, hari ini.

“Ya, kami baru mendapat surat pengesahan daripada MFL. Jadi Selangor sah akan berpindah ke Stadium Shah Alam untuk aksi Piala Malaysia.

“Ini antara langkah pertama pengurusan baha­ru dan beberapa langkah lain akan berjalan dari semasa ke semasa dalam menambah baik lagi bola sepak Selangor.

“Perkembangan positif ini diharap mampu menjadi motivasi buat pemain dalam memburu Piala Malaysia buat kali ke-34 memandangkan stadium itu sudah sinonim dengan pasukan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, ‘perbalahan’ antara kerajaan negeri dan pengurusan FAS yang terdahulu menyaksikan Red Giants terpaksa ‘menumpang kasih’ di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi mengharungi Liga Super dan Piala FA musim ini.

Lebih memeritkan, dana juga turut disekat oleh Kerajaan Negeri kepada FAS, sekali gus mereka perlu mencari sumber kewangan sendiri.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu juga terpaksa menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang rasmi bagi mengharungi musim lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN