Aplikasi Klook memudahkan para pelancong membuat tempahan dan menikmati perkhidmatan ke tarikan-tarikan popular, aktiviti lawatan, WiFi, pengangkutan dan pilihan makanan bagi mendapat pengalaman unik di seluruh dunia.
MELIHAT barisan panjang untuk membeli tiket bagi memasuki Ocean Park di Hong Kong menyesakkan dada Krystal See Kai Li, 25, ketika dia dan rakan-rakannya berkunjung ke negara tersebut pada tahun 2014.
Mereka tidak sanggup menghabiskan masa selama hampir dua jam semata-mata mahu mendapatkan tiket taman tema yang menawarkan aktiviti seperti Polar Adventure, Old Hong Kong, Thrill Mountain, Rainforest, Aqua City and Amazing Asian Animals tersebut.
Justeru, mereka mengambil keputusan untuk memuat turun aplikasi yang menawarkan perkhidmatan pembelian tiket dalam talian.
Selepas membuat sedikit perbandingan, Kai Li memilih untuk memuat turun aplikasi Klook yang menawarkan harga tiket Ocean Park pada kadar yang sangat murah iaitu pada harga RM154.
“Walaupun sedikit gusar sekiranya aplikasi itu merupakan penipuan, namun atas sebab tidak mahu membuang masa dan ia lebih menjimatkan wang, saya dan rakan-rakan membeli tiket Ocean Park menggunakan aplikasi Klook.
“Kami kemudian menunjukkan e-tiket tersebut di kaunter pembelian tiket dan ternyata ia sah malah kami diberikan akses pantas tanpa perlu beratur,” katanya.
Bagaimanapun menurut wanita tersebut, kini Klook menawarkan tiket masuk ke Ocean Park pada harga RM207 berbanding harga pembelian di kaunter iaitu RM246.
Sejak itu, wanita yang berasal dari Klang, Selangor tersebut pengguna setia Klook setiap kali pergi melancong.
Dia yang gemar melancong bersama ibu bapa atau rakan-rakan kemudian menggunakan aplikasi tersebut ketika berkunjung ke Universal Studio dan taman burung di Singapura.
“Kebiasaannya, saya menggunakan aplikasi Klook untuk membeli perkhidmatan WiFi, memilih aktiviti lawatan dan kemudahan pengangkutan.
“Selain luar negara, saya turut menggunakan aplikasi Klook semasa melancong ke Sabah dan Sarawak,” tambahnya yang baru pulang dari mengunjungi Siem Reap, Kemboja pada pertengahan Jun lalu.
Tarikan popular
Menurut Ketua Pemasaran Klook Asia Tenggara, Marcus Yong berkata, platform yang diasaskan di Hong Kong pada tahun 2014 itu memenuhi keperluan pengembara Free and Independent (FIT) untuk meneroka, merancang dan menempah aktiviti bukan sahaja di destinasi di luar negara malah di seluruh Malaysia.
“Klook menyediakan cara yang telus dan mudah untuk para pelancong membuat tempahan dan menikmati perkhidmatan ke tarikan-tarikan popular, aktiviti lawatan, WiFi, pengangkutan dan pilihan makanan di seluruh dunia.
Tempahan boleh dibuat melalui laman web dan aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran Klook di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dengan teknologi Klook yang berinovasi tinggi, pelancong boleh membuat tempahan selepas tiba di destinasi masing-masing dan menebus perkhidmatan menggunakan kod QR atau e-baucer.
Keistimewaan
Mengulas lanjut, Marcus yang berasal dari Singapura memberitahu, Klook menawarkan perkhidmatan dalam lapan bahasa serta menerima lebih 30 jenis mata wang.
“Dalam masa beberapa saat, pengguna boleh mengakses sekitar 40,000 pilihan tempahan aktiviti dan perkhidmatan lebih 200 destinasi di seluruh dunia.
“Antara aktiviti yang dimaksudkan termasuklah acara tarikan, pertunjukan, lawatan, makanan dan restoran, pengangkutan awam dan sambungan WiFi,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, Klook dilengkapi fungsi untuk menggalakkan pelancong meneroka aktiviti di sesebuah destinasi seperti Menara Eiffel di Paris, snek wajib cuba seperti wafel telur di Hong Kong, aktiviti mesra keluarga di Universal Studio Jepun dan bersarapan pagi dengan ditemani hidupan liar di Zoo Singapura.
Kesemua aktiviti tersebut menyediakan ulasan daripada pengguna yang disahkan dan penilaian yang diberikan adalah positif.
Seterusnya, para pelancong juga boleh menikmati pelbagai keistimewaan serta akses eksklusif hanya dengan membuat tempahan melalui Klook termasuk tempahan pada hari sama dan pengesahan pembelian serta merta.
Baucer yang diperoleh di telefon pintar pengguna akan berfungsi sebagai e-tiket dan akses tanpa perlu beratur supaya pelancong boleh meluangkan lebih banyak masa menikmati aktiviti yang disediakan.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran Klook Malaysia, Emily Tan memberitahu, Klook yang beroperasi di Malaysia sejak November tahun lalu telah membuktikan komitmennya dalam menyediakan lebih banyak perkhidmatan pengembaraan bagi memperkasa pelancong tempatan.
“Klook telah menyaksikan perubahan dalam trend pelancongan rakyat Malaysia. Ramai antara mereka lebih suka membuat kajian serta merancang percutian mereka sendiri.
“Justeru aplikasi mudah alih Klook yang telah memenangi pelbagai anugerah sejak tahun 2015 secara am menyasarkan pengguna yang memiliki telefon pintar yang terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun,” katanya.
Emily menjelaskan, Klook dapat memenuhi keperluan pelancongan moden dengan membolehkan mereka meneroka serta menempah aktiviti dan merasai pengalaman menarik dengan hanya satu klik ketika dalam perjalanan.
Tambah beliau, mereka yang mahu merancang sendiri aktiviti semasa melancong amat sesuai untuk memiliki aplikasi Klook.
“Klook bukan sahaja sesuai untuk pengembara beg galas, pelancong bajet malah sesuai untuk mereka yang berkeluarga.
“Untuk kemudahan percutian dalam negara, Klook mudah diakses untuk aktiviti di kawasan tarikan utama pelancong terutamanya, Kuala Lumpur, Langkawi, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.











