KUALA LUMPUR 28 Julai – Pas beranggapan pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bahawa Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy sebagai kawan baik telah menampakkan sikap berpihak.
![]() |
|
NASRUDIN HASSAN
|
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Mujahid tidak selayaknya membuat keputusan awal sebelum Ramasamy disiasat oleh pihak polis.
“Selayaknya Menteri tidak membuat keputusan awal sebelum Ramasamy ditahan dan disiasat secara rapi. Serahkan kepada PDRM meneruskan siasatan justeru lebih 60 report telah dibuat seluruh negara.
“Kenyataan Menteri agama dilihat akan mempengaruhi tindakan pihak polis,”kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini. Nasrudin mengulas rakaman temuramah Mujahid bersama wartawan di lobi Parlimen yang mendakwa Ramasamy sebagai kawan baik beliau.
Sementara itu, Nasrudin meminta agar pertemuan antara Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ramasamy yang akan dianjurkan oleh Mujahid dibuat secara terbuka. Ini kerana isu tersebut bukan berbentuk peribadi yang hanya melibatkan kedua-dua tokoh tersebut sahaja.
“Isu ini bukan isu peribadi antara Dr. Maza dengan Ramasamy. Ini isu keselamatan negara. Bukan hanya Dr. Maza bantah bahkan seluruh pencinta kedamaian membantahnya.
“Logiknya Menteri kena panggil semua rakyat yang bantah dan buat pertemuan terbuka serta memahami asas bantahan rakyat. Sebab ini bukan isu antara Dr. Maza menentang Ramasamy,” kata Nasrudin.
Mujahid sebelum ini berkata, tuduhan dan dakwaan dalam media sosial terhadap Ramasamy memerlukan pertemuan dengan Mohd. Asri. Pertemuan tersebut tidak akan dilakukan secara terbuka kerana akan memberi kesan buruk.
“Pertemuan ini akan diadakan secara tertutup kerana kita melihat kesan jika dibuat secara terbuka akan lebih buruk, maka yang penting bukan sensasi tetapi penyelesaiannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Ramasamy menjadi perhatian kerana didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.
Timbalan Ketua Menteri II itu bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa menjadi sasaran kerana mendesak pendakwah Islam terkenal Dr. Zakir Naik dihantar pulang ke India.-UTUSAN ONLINE











