KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, wujud keperluan untuk memupuk pemimpin yang memimpin dengan hati nurani, berlandaskan moral dalam melakukan tindakan peribadi mereka serta dalam menjalankan perniagaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin sedemikian akan memastikan diri mereka sendiri serta perniagaan mereka dijalankan dengan penuh integriti, beretika dan menghormati satu sama lain.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan dan pemimpin politik tidak semestinya sentiasa berjaya dalam bidang itu, ada yang menyalahgunakan kepercayaan rakyat, menafikan fakta dan berbohong di pentas dunia.
“Ini memberikan kita lebih sebab untuk mewujudkan persekitaran bagi individu-individu berhati nurani untuk mencapai kejayaan, di mana terdapat komitmen ke arah mewujudkan sumbangan bernilai terhadap negara dan masyarakat kita,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah CSR Malaysia 2018 di sini hari ini.
Majlis itu bagi menghargai individu yang cemerlang dan perbadanan yang memberi inspirasi atas usaha mereka untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik menerusi pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka. – Bernama










