SHAH ALAM 3 Julai – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berharap semua pihak dapat menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan perundangan tertinggi negara khususnya dalam memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Yang Dipertua PUM, Datuk Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pihaknya menyeru agenda berkaitan Islam di dalam negara dapat diperkasa di samping perubahan yang ingin dilaksanakan.
“PUM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikan penuh barisan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“PUM mengharapkan semua pihak dapat menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan perundangan tertinggi negara, khususnya berhubung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Halim menambah, pada masa sama, PUM bersetuju supaya kerajaan memperkasakan institusi Islam, golongan ulama dan ilmuwan serta cerdik pandai yang boleh berperanan memberikan nasihat berguna kepada pemerintah khususnya dan masyarakat awam umumnya yang boleh bertindak sebagai entiti semak imbang kepada kepimpinan negara.
Jelasnya lagi, PUM mendoakan kepimpinan negara dapat menjalankan amanah dengan baik dalam tempoh mandat yang diberikan oleh rakyat untuk kebaikan rakyat Malaysia.
Semalam sebanyak 13 lagi menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara. – UTUSAN ONLINE










