KUCHING 2 Julai – Pelaksanaan projek mega yang dirancang oleh kerajaan terdahulu, Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo) Sarawak didapati berjalan lancar apabila pembinaannya sudah mencapai lebih satu pertiga sehingga Mei lalu.
Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) dalam laporan mengenai perkembangan terkini projek berkenaan memaklumkan, dengan selesainya kerja pembersihan tapak, kini aktiviti pembinaan memasuki fasa atau pakej seterusnya.
Menurut LBU, fasa seterusnya ialah kerja pembinaan di tapak meliputi proses penggalian dan pelupusan bahan-bahan tidak sesuai atau berlebihan untuk diganti dengan yang sesuai seperti tanah dan batu.
“Malah, urusan pengimportan bahan-bahan yang lebih sesuai untuk membina tapak lebuh raya berkenaan turut sudah dibuat.
“Fasa seterusnya ialah menyiapkan sistem perparitan merangkumi pembinaan tembok dan longkang sepanjang jalan.
“Ketika ini, kerja pemasangan 1,662 unit paip pembetung dan 418 unit kotak pembetung sudah pun dimulakan,” ujar LBU dalam laporan tersebut.
Tambah laporan itu, seterusnya ialah fasa melibatkan kerja geoteknikal seperti membaik pulih kawasan tanah lembut termasuk membaiki lubang pada longkang, menambak benteng atau menggantikan pasir, menstabilkan lereng melibatkan temboh penahanan, mengukuh tanah dan batu.
Bagi kerja pembinaan jambatan pula, jelas LBU, ia merangkumi pembinaan jambatan baharu menggantikan jambatan lama yang dirobohkan kerana tidak menepati standard R5.
Ujarnya, fasa pertama pembinaan jambatan akan membabitkan 115 jambatan sokongan yang menyokong laluan empat jalan raya R5.
Pan Borneo Sarawak bernilai RM16.49 bilion adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 .
Selepas kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen memberi jaminan bahawa projek-projek mega dirancang oleh kerajaan BN itu akan diteruskan terapi akan diaudit semula daripada aspek pelantikan kontraktor dan pemberian tender kontrak.











