KUALA LUMPUR 19 Julai – Batal dan tangguh. Dua perkataan tersebut terus diulang-ulang oleh kerajaan Pakatan Harapan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, projek itu dibatalkan kerana tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat dan terpaksa menanggung kos pampasan kira-kira RM500 juta kerana membatalkannya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut berubah sekali lagi hari ini apabila beliau menegaskan projek itu ditangguhkan selepas melihat keadaan kewangan negara dan kesan daripada pembatalannya.
“Masalahnya ialah jika kita secara satu pihak membatalkan perjanjian itu, (kita) perlu membayar pampasan yang tinggi.
“Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita tidak akan membina HSR tetapi pada masa ini kita tidak mempunyai dana. Kita perlu menangguhkan…,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Tambah Dr. Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan perlu melihat keadaan kewangan negara terlebih dahulu sebelum dapat melaksanakan projek tersebut.
“Kami fikir tidak dapat meneruskannya, tetapi kami mempelajari implikasi secara unilateral selepas mengkaji kontrak dan kosnya.
“Kami memutuskan perlu melakukannya pada masa akan da-tang atau mungkin mengurangkan harga. Pengurangan harga, sangat sukar, jadi harus ditangguhkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, China boleh menyerahkan Low Taek Jho atau Jho Low kepada Malaysia sekiranya benar ahli perniagaan tersebut ditangkap di negara tersebut.
“Kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China tetapi ia tidak bermakna negara tersebut tidak boleh memulangkan Jho Low kepada kita.
“Buat masa ini saya tidak mempunyai sebarang maklumat, setahu saya, dia melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat,” katanya.
Semalam, portal pro-Pakatan Harapan, Sarawak Report melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong yang tidak dinamakan menyatakan Jho Low telah ditahan di China.










