MADINAH 17 Julai – Tabung Haji akan memastikan program bimbingan serta ziarah yang diatur untuk jemaah adalah mencukupi walaupun tempoh mereka berada di Madinah berbeza iaitu antara enam ke lapan hari.
Menurut Pengurus Ibadat Madinah, Mohd. Zamri Ramli, Unit Bimbingan dan Ziarah Madinah akan menjadualkan aktiviti yang sama untuk jemaah walaupun tempoh mereka berada di sini berbeza.
Beliau memberitahu, isu berkenaan merupakan antara rungutan yang banyak diterima daripada jemaah pada musim haji tahun lepas.
“Ibadat jemaah tidak akan terganggu walaupun mereka berada di sini enam atau lapan hari,” katanya di sini.
Menurut beliau, antara aktiviti yang diatur untuk jemaah adalah ceramah di setiap zon penginapan di mana mereka boleh mendapat bimbingan berkaitan haji dan umrah.
Katanya, unit itu juga akan membuka pejabat di setiap zon yang menempatkan Pembimbing Ibadat Haji untuk jemaah bertanya segala kemusykilan berkaitan ibadah haji.
Beliau memberitahu, seperti sebelum ini Tabung Haji turut menyediakan program ziarah dalam, ziarah luar dan ziarah silaturahim kepada jemaah.
Jelasnya, ziarah dalam meliputi ziarah ke Masjid Nabawi termasuk makam Nabi Muhammad SAW, memasuki raudah dan ziarah perkuburan Baqi.
“Ziarah luar pula ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan lawatan ke ladang kurma,” katanya.
Menurutnya, ziarah silaturahim pula adalah lawatan oleh Pembimbing Ibadat Haji ke penginapan dan bilik jemaah yang uzur untuk membantu menyelesaikan masalah dari segi persoalan ibadat dan emosi.
Menurutnya, terdapat 12 Pembimbing Ibadat Haji ditempatkan di Madinah yang dibantu oleh 50 pelajar Universiti Madinah.
“Ada tiga jemaah yang kita akan adakan ziarah silaturahim setakat ini iaitu yang menghadapi masalah kesihatan dan tidak dapat bergerak serta keluar dari bilik penginapan,” katanya. – UTUSAN










