PRK Sungai Kandis: Calon PRM tarik diri - Utusan Malaysia

PRK Sungai Kandis: Calon PRM tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini hari ini.

Ahmad Kamarudin, 42, berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi memberikan laluan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, dia hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 pukul 9.30 pagi.

“Sewaktu hendak mendaftarkan diri pukul 9.45 pagi, saya menerima panggilan daripada jawatankuasa tertinggi PRM agar menarik diri.

“Saya menerima keputusan itu dengan redha supaya ada pertarungan sengit antara BN sebagai pembangkang kini dengan PKR,” katanya ketika ditemui di perkarangan Dewan Besar Tanjung di sini hari ini.

Ahmad yang merupakan seorang peniaga menambah ini bukan kali pertama dia mendaftarkan diri sebagai calon dalam pilihan raya.

Jelasnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dia bertanding di DUN Bukit Antarabangsa menentang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN