KUALA LUMPUR 19 Julai – Pertembungan satu lawan satu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hampir pasti apabila Pas dikatakan bersedia untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pakatan Harapan.
![]() |
|
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
|
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu sudahpun dimaklumkan oleh pucuk kepemimpinan parti kepada pihaknya dan kini sayap Pemuda sudah mempersiapkan jentera.
Menurutnya, Pemuda UMNO juga telah menyerahkan senarai calon kepada parti untuk melalui proses penilaian.
“Setakat yang kami dimaklumkan oleh pucuk pimpinan, Pas bersedia untuk memberi laluan kepada BN.
“Pemuda menaruh harapan agar calon dalam kalangan orang muda mewakili BN untuk PRK DUN Sungai Kandis nanti,” katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Pelantikan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











